Tuesday, June 17, 2008

Ampun dan Maaf

Alhamdulillah setelah bertahun-tahun tertangguh hasrat ingin menulis dan meluahkan isi hati, akhirnya hasrat yang terpendam sekian lama rasanya mungkin tercapai juga. Pekerjaan sebagai seorang guru sekolah bukanlah terlalu sibuk dan bukan juga terlalu banyak masa terluang, tetapi kesempatan untuk menulis selalu tertangguh kerana fikiran selalu menjadi buntu apabila langkah ingin dimulakan.

Tahun ini hampir 31 tahun aku menjadi guru sekolah yang telah dimulakan sejak tahun 1978 di sebuah sekolah di Kelantan.

Apabila mendapat surat untuk posting ke Kelantan, aku mula merasa resah kerana pada masa itu cerita-cerita mengenai kapak siam masih menjadi bualan.

Berbekalkan ilmu mempertahankan diri yang dipelajari sedikit sebanyak, aku memulakan langkah menuju negeri Cik Siti Wan Kembang itu dengan menumpang di rumah seorang kenalan. Bermulalah kerjaya aku sebagai seorang guru di sebuah negeri yang sangat asing bagi aku. Alhamdulillah, dalam diam tak diam, enam tahun juga aku bermastautin di negeri Kelantan dengan berbagai kenangan pahit manis (sebenarnya lebih banyak manis daripada yang pahit).
Rupa-rupanya rakyat negeri Kelantan memang sangat peramah, berbudi bahasa dan sangat menghormati orang luar. Yang pentingnya, apabila berada di negeri orang, pandai-pandailah membawa diri. Jangan menyombong dan berlagak jaguh. Beberapa tawaran menjadikan aku menantu ditolak tetapi akhirnya terpaut dek budi bahasa dan keayuan gadis Kelantan, maka pada tahun 1982, gadis Kelantan jugalah yang menjadi pilihan hati.
Kini, setelah menyambungkan tugas di negeri kelahiran, Melaka, saat bersara hampir menjelang tiba.
Rasanya setelah sekelian lama menabur bakti, banyak salah silap yang telah dilakukan kepada anak murid, yang sudah tentu bertaburan di seluruh negara. Jadi, melalui ruangan ini, aku menyusun sepuluh jari, memohon kemaafan dari setiap anak murid yang pernah aku didik, di atas segala kesalahan yang rasanya agak sukar di sebutkan satu persatu.
Sampai di sini buat sementara waktu.

2 comments:

Ladyengineer said...

assalamualaikummm Cikgu...
saya Hana,oh yer..cikgu Heng ajar subjek gapo ehh....

AbuHaneef said...

Hana,
Saya ajar subjek math & science